  | 
| Sam ditemani anak saudaranya | 
KUALA LUMPUR: Tiada lagi alunan mendayu Cinta Hampa mahupun Oh Di Mana 
daripada Sam berikutan kematian vokalis utama kumpulan D’lloyd itu, pagi
 semalam.
Sam, yang nama sebenarnya Syamsuar Hashim, 64, mengidap penyakit jantung
 dan kanser paru-paru yang dirahsiakan selama ini, menghembuskan nafas 
terakhir di Rumah Sakit Cempaka Putih, Jakarta, Indonesia, sekitar jam 
9.15 pagi waktu Malaysia.
Berita kematian Allahyarham dimaklumkan kepada Metro Ahad oleh 
sahabatnya, komposer Richard Kyoto yang turut menziarahi jenazah Sam di 
kediaman kakaknya sebelum dikebumikan di Tanah Kuasir, Jakarta. Richard,
 komposer lagu Kasih, menyifatkan sahabatnya itu seorang yang memendam 
rasa kerana di sebalik wajahnya yang sentiasa senyum, ramai di kalangan 
ahli keluarga, teman dan peminat tidak menyedari penyakit kanser 
paru-paru Allahyarham sudah di peringkat serius.
“Saya terkejut apabila diberitahu penyakit kanser Allahyarham sudah 
sampai tahap empat. Hairannya bila bertemu, beliau tidak pernah 
menceritakan perihal penyakitnya itu. Sedih saya mengenangkannya tetapi 
bersyukur dapat menziarahi jenazahnya,” katanya.
Kumpulan D’lloyd turut dianggotai Bartje Van Houten selaku pemain gitar 
dan ketua kumpulan, Yuhanny Fatmarida Susilo, Chairul Daud, Candra 
Casmala dan Ucep Tekol. Lagu lain dipopularkan D'lloyd seperti Keagungan
 Tuhan, Oh Tak Mungkin dan Semalam Di Malaysia.
Di kalangan anggota D’lloyd, Sam dilihat agak misteri kerana statusnya 
yang hidup membujang. Bagaimanapun, kata Richard, seingatnya Allahyarham
 pernah berkahwin dengan seorang perempuan Singapura tetapi jodoh tidak 
panjang dan mereka juga tidak dikurniakan zuriat.
D’lloyd yang ditubuhkan pada 1969, antara kumpulan muzik berpengaruh di 
rantau ini pada era 1970-an, julung kali mengadakan konsert di Kuala 
Lumpur pada 1978 di Stadium Negara. Sekitar awal 1990-an, Harian Metro 
membawa D’lloyd untuk satu persembahan khas manakala konsert terakhir 
D'lloyd di sini, pada 6 hingga 8 Mei tahun lalu di Istana Budaya melalui
 persembahan Semalam Di Malaysia, bergandingan dengan Datuk Ahmad Jais.
Ketika sidang akhbar, Sam membuatkan pihak media terharu apabila dia 
tiba-tiba sebak hingga mengalirkan air mata. Kesedihan itu diperjelaskan
 Sam betapa jiwanya tersentuh mengenang walau sudah setengah abad 
peminat di Malaysia masih mengagumi D’lloyd.
Apa yang pasti air mata Sam itu, petanda salam perpisahan kepada peminat Malaysia untuk tidak bertemu kembali
 Sumber info & gambar  : metro
Psstt : kalau anda suka artikel ni jangan malu2 nk share erk..
. 
No comments:
Post a Comment